BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
 hamba Allah sdg insaf

Khamis, Disember 23, 2010

Syurga dan Neraka [Part 3,penghuni syurga dan neraka]

Tidak Ada Lagi Kematian

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2435]
Dari 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setelah penduduk syurga dimasukkan Allah ke syurga dan penduduk neraka dimasukkan ke neraka, maka diumumkan kepada mereka masing-masing, "Hai, penduduk syurga. Tidak ada lagi kematian. Hai, penduduk neraka. Tidak ada lagi kematian. Semuanya kekal di mana mereka berada."



Siapa Penghuni Syurga dan Neraka?

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2436]
Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Maukah kamu sekalian kuberitahukan siapa penduduk syurga?" Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Orang-orang dha'if bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepadaNya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." Kemudian beliau bertanya pula, "Maukah kamu kuberitahukan siapa penduduk neraka?" Jawab mereka, "Tentu!" Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2437]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "ada dua macam penghuni neraka yang belum terlihat olehku dewasa ini: Pertama, orang-orang yang membawa cemeti seperti ekor sapi, digunakannya untuk memukul manusia. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian seperti bertelanjang dan pandai merayu. Rambut mereka disasak seperti punuk unta miring. Mereka tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2438]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak lama, jika umurmu panjang engkau akan melihat suatu kaum memegang cemeti seperti ekor sapi di tangannya. Mereka itu senantiasa berada dalam kemarahan Allah Ta'ala sepanjang pagi dan petang."




Dari Neraka ke Syurga

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.149]
Dari 'Atha' bin Yazid Al Laytsi r.a., katanya Abu Hurairah r.a. mengabarkan kepadanya, bahawa orang banyak bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Dapatkah kami melihat Tuhan kami nanti di hari kiamat?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Apakah kamu mendapat kesulitan melihat bulan purnama di malam empat belas?" Jawab mereka, "Tidak, ya Rasulullah!" Tanya, "Apakah kamu merasa sulit melihat matahari di langit tak berawan?" Jawab mereka, "Tidak, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya anda semua akan melihatNya nanti seperti itu. Di hari kiamat kelak, Allah akan mengumpulkan seluruh umat manusia, lalu Dia berfirman: "Siapa yang menyembah selain Aku, hendaklah dia mengikutinya." Maka siapa yang menyembah matahari, diikutinya matahari, siapa yang menyembah bulan diikutinya bulan, dan siapa yang menyembah berbagai berhala, diikutinya pula berhala-berhala itu. Maka tinggallah umat ini (orang-orang mukmin), yang di dalamnya termasuk pula orang-orang munafik. Allah Tabaraka wa Ta'ala mendatangi mereka dalam bentuk lain yang tidak mereka kenal. Lalu Allah berfirman, "Akulah Tuhanmu. (Ikutilah aku)" Jawab mereka, "Kami berlindung dengan Allah dari tipu-dayamu. Kami akan tetap di tempat kami ini sampai Tuhan kami datang menjemput kami. Apabila Tuhan kami telah datang, kami akan mengenalNya." Maka datanglah Allah Ta'ala dalam bentuk yang mereka kenal, seraya berfirman, "Akulah Tuhanmu." Jawab mereka, "Ya, Engkaulah Tuhan kami!" Kata Nabi s.a.w. melanjutkan, "Lalu dibentangkan titian pada kedua sisi neraka Jahannam. Aku dan umatkulah yang pertama-tama melewati titian itu. Pada hari itu tidak ada yang diperkenankan berbicara kecuali para Rasul. Do'a mereka itu, "Wahai, Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah!" Di dalam neraka Jahannam ada semacam kaitan seperti pancing, runcing bagaikan duri sa'dan. Pernahkan Anda semua melihat duri Sa'dan?" Jawab mereka, "Pernah, ya Rasulullah!" Sabda Nabi s.a.w., "Nah. Seperti duri Sa'dan itu: tetapi tidak terkira-kirakan besarnya, selain hanya Allah yang dapat mengetahuinya. Kaitan itu akan mengait setiap umat manusia yang lewat di titian itu tersebab amal perbuatan mereka. Orang-orang yang beriman akan terlepas dari bahaya itu sesuai dengan amal mereka, dan ada pula yang dihukum beberapa lama, sampai ia bebas dari hukuman itu. Setelah Allah selesai mengadili perkara para hambaNya, Ia ingin mengeluarkan dengan rahmatNya penduduk neraka yang dikehendakiNya. Lalu Dia memerintahkan para malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang tidak mempersekutukanNya dengan yang lain-lain. Iaitu orang yang mengakui tidak ada Tuhan selain Allah. Para malaikat mengenal mereka yang di neraka itu dengan tanda-tanda bekas sujud. Sesungguhnya api memakan tubuh anak Adam di neraka, selain bekas sujud. Kerana Allah mengharamkan bagi api memakan tanda bekas sujud itu. Lalu mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus. Kemudian mereka disiram dengan air kehidupan, dan mereka dapat hidup bagaikan bibit tanaman yang tumbuh di atas lumpur yang dibawa banjir. Setelah semuanya selesai dikeluarkan, ternyata masih ada ketinggalan seorang lelaki yang menghadapkan mukanya ke neraka. Itulah penduduk syurga yang terakhir sekali masuk syurga. Orang itu berkata, "Wahai Tuhan! Palingkanlah mukaku dari neraka ini, kerana anginnya terasa bagaikan racun dan nyalanya terasa membakar diriku." Dia senantiasa mendo'a kepada Allah. Kemudian Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman: "Jika Aku kabulkan permintaanmu itu, apakah kamu akan meminta pula yang lain-lain?" "Tidak! Aku tidak akan meminta lagi yang lain-lain," katanya berjanji. Lalu dengan kehendak Allah, mukanya terpaling dari neraka. Setelah dia menghadap dan melihat ke syurga, dia terdiam beberapa lamanya, lalu berkata, "Wahai Tuhanku! Bawalah aku ke pintu syurga." Maka berfirman Allah kepadanya, "Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi padaKu selain apa yang telah Kuberi? Celaka engkau, hai anak Adam. Engkau betul-betul penipu." Tetapi orang itu terus mendoa dan mendoa, sehingga akhirnya Allah berfirman kepadanya, "Berjanjilah, jika permintaanmu itu Aku kabulkan, kamu tidak akan meminta lagi yang lain-lain." "Tidak! Demi kebesaranMu." Kata orang itu berjanji. Lalu dia dibawa ke pintu syurga. Setelah ia sampai di sana, pintu itu terbuka lebar baginya, sehingga ia dapat melihat dengan jelas segala isinya berupa kenikmatan dan kebahagiaan. Kerana itu dia terdiam pula seketika, kemudian dia mendoa pula, "Wahai, Tuhanku! Masukkanlah aku ke syurga!" Firman Allah Tabaraka wa Ta'ala, "Bukankah engkau sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain apa yang telah Kuberikan? Celaka engkau hai anak Adam. Alangkah penipunya kamu." Jawab orang itu, "Wahai, Tuhanku! Janganlah aku dijadikan makhlukMu yang celaka!" Dia senantisa mendo'a dan mendo'a seperti itu, sehingga Allah tertawa kerana gembiraNya. Maka berfirman Allah, "Masuklah kamu ke syurga." Setelah dia berada di syurga, Allah berfirman pula kepadanya, "Mintalah apa yang kau inginkan." Lalu dia memohon segala yang diinginkannya (membatasi) ini dan itu. Setelah permintaannya terkabul semuanya, Allah Ta'ala berfirman pula kepadanya, "Semua permintaanmu telah Kukabulkan, bahkan akan Kutambah sebanyak itu lagi." (menurut hadith Abu Sa'id r.a., bahkan Allah menambah sepuluh kali lipat permintaannya).

[Hadith Sahih Muslim Jilid 1, No.151]
Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Iaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak. Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga." Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhanku! Kudapati syurga telah penuh." Firman Allah s.w.t., "Pergilah dan masuklah ke syurga." Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhanku! Kudapati syurga telah penuh." Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga." Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya Tuhanku! Kudapati syurga telah penuh." Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." Kata 'Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah s.a.w. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau." Beliau bersabda, "Dikatakan kepadaku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah."



Situasi yang Mencemaskan

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2441]
Dari Miqdad bin Aswad r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pada hari kiamat kelak, matahari didekatkan kepada manusia, sehingga jaraknya dengan mereka hanya kira-kira satu batu. Ketika itu manusia berada dalam genangan keringat, terbenam sesuai dengan amal mereka. Di antara mereka ada yang terbenam sampai mata kaki, ada yang sampai lutut, ada yang sampai pinggang, dan ada pula yang megap-megap, terbenam sampai ke mulutnya, - sambil Rasulullah s.a.w. menunjuk ke mulutnya."



Ciri-ciri Penduduk Syurga dan Neraka

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2442]
Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbah sebagai berikut: "Ketahuilah. Sesungguhnya Tuhanku memerintahkan kepadaku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepadaku hari ini. Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hambaKu semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yeng telah Kuhalalkan bagi mereka dan menyuruh mereka supaya mempersekutukanKu dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa. Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab mahupun bangsa 'Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab. 91) Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepadamu Kitab yang tidak sirna kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy." Jawabku, "Ya, Tuhanku, nanti mereka pecah kepalaku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti." Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepadamu, mereka yang durhaka kepadamu. Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam: (1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. (2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin. (3) Orang dha'if yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan. Penduduk neraka ada lima macam: (1) Orang dha'if yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. (2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga. (3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipu, tentang keluargamu, dan hartamu, (4) Orang bakhil atau pendusta. (5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka mengumpat)."
91). Yang dimaksud ialah umat-umat sebelum Nabi s.a.w. diutus. (Syarah Nawawi, 5: 716).



Syurga dan Neraka Diperlihatkan Allah Ta'ala

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2443]
Dan Ibnu 'Umar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila salah seorang kamu telah meninggal dunia, maka diperlihatkan Allah Ta'ala kepadanya pagi dan petang tempatnya di syurga jika dia akan menjadi penduduk syurga, atau tempat di neraka jika dia akan menjadi penduduk neraka. Seraya dikatakan kepadanya, inilah tempatmu. Begitulah seterusnya hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat."



Berlindung dari Seksa Kubur

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2444]
Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Ketika Nabi s.a.w. berada di sebidang kebun Bani Najjar mengendarai keledai, kami ada bersama-sama beliau. Tiba-tiba keledai itu membelok sehingga beliau hampir jatuh. Kiranya di sana terdapat empat atau enam kuburan. Tanya beliau, "Siapakah di antara kalian yang tahu, kuburan-kuburan ini milik siapa?" Seorang lelaki berkata: "Aku!" Tanya Nabi s.a.w., "Bila mereka meninggal?" Jawab, "Mereka mati dalam syirik." Sabda Rasulullah s.a.w., "Mereka sedang diseksa dalam kubur. Seandainya aku tidak khawatir yang kamu semua akan takut menguburkan mayat, akan kumohon kepada Allah Ta'ala supaya Dia memperdengarkan kepadamu sekalian bagaimana dahsyatnya seksa kubur seperti yang terdengar olehku." Kemudian beliau hadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda, "Berlindunglah kamu dengan Allah dari seksa neraka." Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa neraka." Sabda beliau , "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari seksa kubur." Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa kubur." Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi." Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi." Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dari fitnah (bencana) Dajjal." Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah Dajjal."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2445]
Dari Abu Ayyub r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. pernah keluar rumah sesudah maghrib, maka terdengar olehnya satu suara. Kata beliau, "Itu suara orang Yahudi sedang diseksa dalam kuburnya."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2446]
Dari Anas bin Malik r.a. katanya Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang hamba telah diletakkan dalam kuburnya, para sahabatnya yang mengantar telah pulang, sesungguhnya dia mendengar bunyi terompah mereka, ketika itu datanglah kepadanya dua malaikat mendudukkannya. Lalu kedua bertanya, "Tahukah kamu, siapakah lelaki (Nabi Muhammad s.a.w.) ini?" Kata Rasulullah s.a.w., "Kalau mayat itu mayat seorang mukmin, dia akan menjawab, aku menjadi saksi bahawa dia itu seorang hamba Allah dan RasulNya." Maka dikatakan kepadanya, "Lihatlah tempatmu yang sedianya di neraka, tetapi Allah Ta'ala telah menggantinya dengan tempat di syurga." Kata Nabi s.a.w., "Maka diperlihatkan kepadanya tempat itu kedua-duanya sekaligus."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2447]
Dari Al Bara' bin 'Azib r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Allah Ta'ala meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang mantap" Kata beliau ayat itu diturunkan mengenai azab (seksa) kubur. Si mayat ditanya, "Siapa Tuhanmu?" Jawabnya, "Tuhanku Allah, dan nabiku, Nabi Muhammad s.a.w." Begitulah firman Allah 'Azza wa Jalla, "Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang mantap dalam kehidupan dunia dan akhirat......." (Ibrahim, 14:27)



Ruh Harum dan Ruh Busuk

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2448]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Apabila ruh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya, dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit." Kata Hammad, "Kerana baunya harum seperti kasturi." Kata penduduk langit, "Ruh yang baik datang dari bumi. Shallallahu 'alaika (Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam." Lalu ruh itu dibawa ke hadapan Tuhannya 'Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman, "Bawalah dia ke sidratul muntaha, dan biarkan di sana hingga hari kiamat." Kata Abu Hurairah selanjutnya, "Apabila ruh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya, - kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian -, maka berkata penduduk langit, "Ruh jahat datang dari bumi." Lalu diperintahkan, "Bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."



Pemeriksaan yang Menyeksakan

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2450]
Dari 'Aisyah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat, dia akan terseksa." Tanya 'Aisyah, "Bukankah Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman "Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah." (Al Insyiqaq, 84:8). Jawab beliau, "Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti." Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya terseksa."



Baik Sangka kepada Allah Ta'ala

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2451]
Dari Jabir bin 'Abdullah Al Anshari r.a. katanya tiga hari sebelum Rasulullah s.a.w. wafat, beliau bersabda: "Janganlah kamu mati melainkan baik sangka terhadap Allah 'Azza wa Jalla."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2452]
Dari Jabir (bin 'Abdullah) r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat) menurut keadaan (aqidah atau iman)nya ketika dia mati."

[Hadith Sahih Muslim Jilid 4, No.2453]
Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila Allah hendak menyeksa suatu kaum, maka orang-orang yang (tidak bersalah) berada bersama mereka, akan terkena musibah itu. Kemudian mereka akan dibangkitkan menurut amal mereka (baik atau buruk)."

0 comments: